Tuesday, April 1, 2008

Buku yang sedikit-sebanyak menyentuh hati aku

PANRITA

Penulis : Arena WatiTerbitan : Dewan Bahasa dan PustakaHalaman : 397 muka suratTahun cetakan : 1993


Panrita...Novel Arena Wati yang berunsur sufistik.Begitulah tanggapan saya ketika membaca novel ini. Bagi saya ia adalah khazanah berharga yang sepatutnya orang kebanyakan baca, fahami dengan teliti apa yang cuba disampaikan oleh Arena WAti.Perjalanan roh manusia secara spiritual melangkaui alam fizikal menembusi zarah-zarah pejal yang tidak mampu dijelaskan oleh fakulti pemikiran manusia secara maknawi.

Pembersihan diri yang dilalui oleh Omba dalam mencari hakikat yakin bahawa untuk apa manusia itu wujud dan menjadi hamba kepada Sang Cipta Rasa. Pengalaman sebentar di alam metafizik membuatkan Omba harus mengerti akan hakikat ketuhanan yang dilupakan saat dia berada di dimensi manusia.

Arena wati juga cuba membawa kita memahami tentang pengertian ‘yakin’ dan ‘tahu’ dalam memahami konsep kehidupan yang bersandarkan syariat.Novel ini juga menerangkan kumpulan manusia yang dibahagikan kepada 4 kumpulan dari perspektif pemahaman Arena Wati.Pertama (akal hayulani ) manusia yang buta huruf walaupun mereka jujur dan mudah dipengaruhi oleh oleh yang lebih cerdik dan lebih tinggi kemampuan mindanya.

Pengetahuan mereka berdasarkan pengalaman sehari-hari dibawah perintah orang yang lebih berkuasa. Kedua ( campuran akal kasabi dan atoi) , manusia yang mampu meninggikan taraf hidup dan mencipta sesuatu ( akal kasabi), dan orang yang mempunyai peluang untuk mendapat hidayah.(akal atoi) Sekiranya pengaruh hidayah itu kuat, dia akan kuat imannya dan mudah memahami perkara duniawi dan ghaib.Ketiga, ( akal bilfili) manusia yang arif tentang hukum alam dan memahami dan meyakini yang ghaib. Orang sebegini dapat melihat perkara yang melangkaui penglihatan perkara-perkara zahir yang dipercayai oleh mata kasar manusia . Keempat, ( akal mustafad) manusia yang sudah memahami tentang hakikat kehidupan, kebenaran dan memahami makrifatulhaq . Orang sebegini sudah mempunyai minda yang sempurna dan mencapai ketenangan di dalam hidupnya.

…”Teruskan perjalananmu Omba.”Tiba-tiba Panrita Tua wujud dihadapannya. “Suatu pengembaraan dianngap gagal kalau kita tidak mendapat apa yang kita cari. Tetapi itu tanggapan yang salah. Tidak ada pengembaraan yang sia-sia. Cuma kau tidak faham, bahawa sesuatu yang kau jumpa dalam perjalanan adakalanya lebih baik daripada apa yang kau cari.”
Malie

No comments: